NEW DELHI – Seorang ibu muda berusia 21 tahun di India melahirkan bayi sulungnya dengan dua kepala dan mempunyai tiga tangan.
Babita Ahirwar dan suaminya, Jaswant Singh Ahirwar dari perkampungan Basauda di daerah Vidisha, Madhya Pradesh terkejut selepas kelahiran anak mereka pada Sabtu lalu.
“Kami seakan tidak percaya. Semua orang tergamam melihat bayi kami kerana mempunyai dua kepala,” kata Ahirwar yang mendirikan rumah tangga 18 bulan lalu.
Doktor di hospital berkenaan mendakwa mereka tidak pernah berdepan kelahiran luar biasa seperti itu.
‘Bayi kembar’ itu kini berada di bawah pemerhatian pihak hospital dan tidak disahkan sama ada akan menjalani pembedahan atau tidak.
Menurut laporan media tempatan, pasangan itu dimaklumkan akan mendapat bayi kembar ketika usia kandungan mencecah 35 minggu.
Tetapi, selepas pembedahan c-section dilakukan, mereka terperanjat apabila bayi tersebut dilahirkan dengan dua kepala.
“Isteri saya terus pengsan sejurus melihat bayi kami. Ketika ujian ultrabunyi dilakukan, doktor mengesahkan kami akan mendapat bayi kembar dan ia sememangnya menggembirakan kami,” ujar Ahirwar lagi.
Dalam istilah perubatan, kelahiran ‘kembar’ seperti itu digelar sebagai tribrachius parapagus iaitu satu fenomena jarang berlaku dan biasanya harapan untuk bayi terus hidup sangat tipis. – Agensi