Tawau Bakal Menjadi Bandaraya Ke-13 Di Malaysia

Zuraida Kamaruddin

TAWAU BAKAL MENJADI MAJLIS BANDARAYA KE-13 NEGARA

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bakal menjadi majlis bandaraya ke 13 di negara ini menjelang tahun hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya optimis melakukan perkara itu selepas melihat potensi Tawau untuk terus membangun.

“Hasil lawatan kerja dua hari di sini, saya melihat banyak potensi untuk membangunkan Tawau termasuk industri pelancongan, perniagaan dan perhotelan ekoran perpindahan ibu negara Indonesia yang baharu di Kalimantan.

“Justeru, lebih banyak kerja menaik taraf khidmat pihak berkuasa tempatan dan infrastruktur akan dilakukan di sini,” katanya kepada media, hari ini.

Zuraida berkata, dia akan mengesyorkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk melakukan lawatan kerja ke Tawau termasuk kawasan sempadan bagi melihat sendiri potensinya.

“Oleh itu, saya berharap menjelang 2020, Tawau bersedia diangkat menjadi Majlis Bandaraya Tawau.

“Bagaimanapun, untuk menjadi sebuah bandaraya, Tawau perlu memenuhi beberapa kriteria antaranya pendapatan majlis mencecah RM100 juta setahun dan penduduk seramai 500,000 orang,” katanya.

Sementara itu, Zuraida memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi menaik taraf pelbagai projek di Tawau.

“Antaranya termasuklah penambahbaikan enam pasar, pembinaan jejantas dan laluan pejalan kaki berbumbung.

“Saya melihat daripada segi keperluan, jika ia untuk pelaburan yang akan meningkatkan daya saing ekonomi daerah itu, ia akan menjadi keutamaan saya,” katanya.

Dalam masa sama, KPKT turut meluluskan RM500,000 permohonan MPT untuk menaik taraf Pasar Tanjung Tawau.

“Ia sudah diluluskan sejak September lalu dan kita umumkannya hari ini, selain itu, Balai Bomba dan Penyelamat Merotai, Kalabakan yang baharu akan dibina dengan kos perbelanjaan sebanyak RM8.9 juta.

“Projek yang bakal siap dalam tempoh dua tahun lagi, bakal menyaksikan pembinaan balai bomba Kelas D dan kuarters kakitangan,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *