Petronas Sahkan Disaman Kerajaan Sarawak

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan kerajaan Sarawak dan pengawal cukai jualan negeri itu memfailkan saman terhadapnya atas dakwaan gagal membayar cukai jualan.

“Petronas mengesahkan bahawa pengawal cukai jualan negeri Sarawak dan kerajaan negeri Sarawak telah memfailkan tindakan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuching pada 21 Nov, 2019,  kerana tidak membayar cukai jualan Sarawak ke atas produk petroleum,” menurut syarikat minyak nasional itu dalam kenyataan.

Bagaimanapun Petronas tidak menyatakan tindakan susulan yang akan diambil syarikat itu.

Kenyataan Petronas dikeluarkan empat hari selepas kerajaan Sarawak mengumumkan saman tersebut.

Pada Khamis lepas, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek), Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dalam kenyataan berkata Petronas tidak membayar cukai jualan negeri bagi produk petroleum yang ditetapkan mengikut Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998.

Jumlah yang dituntut daripada Petronas tidak disebut sama ada dalam kenyataan beliau mahupun kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan oleh Petronas hari ini.

Cukai jualan negeri sebanyak lima peratus dikenakan pada 1 Januari tahun ini dan Petronas dikatakan satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri itu yang belum membayar cukai jualan tersebut.

Awani Online

1992