Bukan Mudah Hantar Pulang Pelarian Kerana Filipina Enggan Terima

KOTA KINABALU: Cadangan menghantar pulang pelarian perang dari Selatan Filipina yang kini memegang Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13) di Sabah tidak mudah untuk dilaksanakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, keengganan Filipina menerima semula pelarian perang itu memberi kesukaran kepada kerajaan dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, bukan kerajaan tidak mahu menghantar mereka pulang tetapi negara itu tidak mahu menerima rakyat mereka walaupun telah dibawa ke pejabat Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur.

“Namun, bila sampai di kedutaan, mereka memaklumkan mereka dilahirkan di Sabah dan tidak mengetahui nama kampung mereka di Filipina kerana sudah lama bermastautin di Sabah, mreka tidak mahu dihantar pulang maka, Kedutaan Filipina tidak mahu menerima mereka.

“Kalau proses ini boleh dilakukan dengan mudah, saya rasa kerajaan terdahulu sudah melakukannya, tetapi kenapa kerajaan dahulu tidak hantar, kita baru menjadi kerajaan dalam tempoh satu setengah tahun tetapi mereka sudah 25 tahun,” katanya ketika mengulas mengenai cadangan menghantar pulang pemegang IMM13 di Sabah kembali ke Filipina.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini hari ini.

Mohd. Azis berkata, jika Kedutaan Filipina tidak mahu mengeluarkan sijil kecemasan kepada warga Filipina di Sabah, maka sukar untuk kerajaan menghantar mereka pulang.

Dalam pada itu, beliau melihat ada keperluan Kerajaan Filipina membuka pejabat kedutaan di Sabah bagi memudahkan urusan dokumentasi membabitkan rakyatnya di negeri ini.

Katanya, sekiranya Filipina bersedia untuk membantu dan bekerjasama dengan Sabah, mereka seharusnya membuka pejabat konsulat mereka di negeri ini.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *