Ibu Kerat Alat Sulit Lelaki Yang Merogol Anak Perempuan Berusia 5 Tahun Sehingga Mati

Seorang wanita dihadapkan ke mahkamah di Afrika Selatan kerana didakwa memotong alat sulit seorang lelaki yang disyaki merogol dan membunuh anak perempuannya berusia lima tahun.

Veronique Makwena, 23, bersama dengan kakak iparnya, Noxolo Maneli dan rakannya, Siyabonga Pakade, didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh lelaki itu selepas menemui mayat anaknya, Chantelle, di tandas awam di Port Elizabeth, Ogos lalu.

Peguam Fundile Matoto, yang bersetuju mewakili Veronique tanpa mengenakan sebarang caj guaman selepas kes itu mendapat banyak tumpuan berkata, pihaknya tidak menafikan serangan itu berlaku tetapi mahu tuduhan yang lebih ringan dikenakan terhadapnya.

Chantelle dilaporkan hilang dari rumahnya di Port Elizabeth pada Ogos tahun ini ketika ibunya pergi ke kedai yang agak jauh dari rumah. 

Sebaik tiba di rumah, Chantelle yang ditinggalkan bersama rakannya tidak kelihatan.

Makwena berkata, dia menghabiskan masa sepanjang malam itu untuk mencari anak perempuannya, tetapi gagal menemui Chantelle. 

Sehari selepas kejadian, mayat Chantelle ditemui dalam tandas awam oleh suami Makwena dan polis terus melancarkan siasatan. 

Seorang suspek lelaki berusia 20-an yang dikenali keluarga mangsa disyaki terbabit dalam kes itu dan diarahkan menjalani ujian DNA. Tetapi polis tidak dapat menahannya selagi keputuan ujian DNA tidak diperolehi. 

Sebulan kemudian, Makwena bersama dengan kakak ipar dan seorang lagi rakan didakwa berdepan dengan suspek dan mendakwa lelaki itu bertanggungjawab di atas kematian Chantelle.

Lelaki itu diserang dan alat sulitnya dipotong.

Mangsa kemudian dihantar ke hospital di mana dia memberitahu pihak berkuasa bahawa Makwena, Manela dan Pakade telah menyerangnya.

Mangsa terpaksa menjalani pembedahan untuk menyambung semula alat sulitnya. 

Susulan kejadian itu, Makwena dan dua lagi suspek ditahan reman dua minggu sehingga pihak Enough is Enough tampil mengumpul dana bagi mengikat jamin mereka. 

“Ketika Chantelle ditemui, hati saya pilu dan terkilan. Anak perempuan saya dah tiada.

Sepanjang malam kami mencari dia, rupanya dia terbaring kaku di lantai tandas yang sejuk. Saya masih tidak dapat menerima kenyataan ini,” kata Makwena. 

Hakim menangguhkan perbicaraan dan menetapkan Februari depan untuk sebutan semula kes berikutan siasatan masih belum lengkap. 

Sumber: Daily Mail

2656