Dua maut kereta rempuh belakang lori
KOTA BELUD: Dua maut manakala dua kanak-kanak parah selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang lori di Jalan Kota Marudu-Kota Belud di Kampung Ulu Kukut, Kota Belud, hari ini.
Dalam kejadian 1.10 tengah hari itu, pemandu, Zollen Enggal, 38, dan penumpang wanita, Soo Li Ling, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Manakala mangsa kanak-kanak lelaki, Zulkifli Sapawit, 8, parah di bahagian muka dan kepala manakala Syarikmal So Abdullah, 9, patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga FL itu dari arah Kota Marudu menghala ke Kota Kinabalu.
“Sebaik menuruni bukit, pemandu hilang kawalan dan merempuh belakang lori Nissan sehingga terperosok di bawah lori terbabit.
“Pemandu dan penumpang hadapan kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 55 tahun tidak cedera,” katanya.
Menurutnya, hubungan antara semua mangsa menaiki kereta itu belum diketahui dan polis sedang mengenal pasti waris mangsa.
Katanya, mangsa parah masih menjalani rawatan manakala mayat dihantar ke Hospital Kota Belud untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.17 tengah hari dan dua jentera serta kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 13 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba anggota bomba mengeluarkan semua mangsa dan menjalankan pemeriksaan kenderaan untuk mencegah bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada 2.57 petang.
Harian Metro