PPR Pitas Siap Oktober 2020

Datuk Jaujan Sambakong

KOTA KINABALU:  Program Perumahan Rakyat (PPR) Pitas yang melibatkan 440 unit akan disiapkan pada Oktober 2020.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata,  projek yang dimulakan pada April 2017 dijangka siap mengikut jadual asal.

“Hasil pemantauan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sehingga hujung Oktober lalu, kerja-kerja pembangunan masih berjalan lancar mengikut kontrak.

“Setakat bulan lalu kerja-kerja pembangunan adalah berada dalam lingkungan 66 peratus,” katanya ketika ditemui di persidangan Dewan Undangan Negeri ke-15 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, selain PPR Pitas, PPR Gayang juga dalam proses pembangunan ke penyiapan.

Katanya, PPR Batu Putih Sandakan dijangka siap pada hujung tahun ini dan PPR di Tawau dan Semporna pula akan diserahkan kepada pemilik pada hujung minggu ini.

Jaujan yang juga Menteri KKTP berkata, kelewatan pembinaan bangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Pitas, pihaknya telah dimaklumkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bahawa notis penamatan telah dikeluarkan kepada kontraktor asal.

“Notis penamatan itu dikeluarkan disebabkan masalah pengurusan kerja dan kewangan di pihak kontraktor, aktiviti kerja terhenti tanpa alasan yang munasabah dan kekurangan pekerja serta bahan binaan.

“Katanya, KPKT kini dalam proses untuk tender semula untuk melaksanakan projek berkenaan bersama dengan pihak perunding,”katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *