“Saya Tidak Boleh Digari.. Saya ‘Sultan’ Di Dalam Dunia Ini,”

Suspek yang bertindak agresif cuba melawan ketika digari oleh anggota AADK dalam Op Cegah di rumahnya di Kampung Likas, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

LALOK SYABU KONON MENGAKU ‘SULTAN RADYWANYU’

KOTA KINABALU: “Saya tidak boleh digari.. saya ‘Sultan’ di dalam dunia ini,” jerit seorang lelaki yang ditahan sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Cegah di rumahnya di Kampung Likas, di sini, awal pagi tadi.

Dia berusia 39 tahun dipercayai mengalami ketagihan melampau syabu didapati berhalusinasi sehingga menggelarkan diri sebagai ‘Sultan ‘Radywanyu’.

Suspek yang bertindak agresif cuba melawan ketika digari oleh anggota AADK dalam Op Cegah di rumahnya di Kampung Likas, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

Ketika pegawai dan anggota AADK Kota Kinabalu dan AADK Negeri cuba menahannya, dia tiba-tiba bertindak agresif sambil menjerit bahawa dia kononnya ‘Sultan’ dan tidak boleh digari.

Anggota AADK cuba menenangkannya namun gagal dan bertindak lebih agresif cuba melarikan diri sebelum dia berjaya ditahan dan dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Anggota AADK melakukan ujian air kencing ke atas beberapa individu dalam Op Cegah di Likas, Kota Kinabalu.-Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh berkata lelaki itu antara tujuh individu yang ditahan termasuk dua wanita dalam Op Cegah bermula kira-kira jam 10 malam dan berakhir 4 pagi tadi.

“Operasi itu menahan seramai 15 individu di beberapa kawasan di daerah ini dan Penampang.

Anggota AADK menahan seorang lelaki selepas mengaku baru menagih syabu.-Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

“Hasil ujian air kencing dan tujuh daripada mereka termasuk dua wanita didapati positif dadah jenis methaphatemine atau syabu,” katanya.

Lawrence berkata lelaki yang mengalami halusinasi itu dilakukan selepas menerima aduan daripada keluarga apabila sikapnya menagih dadah semakin teruk.

“Dia sebelum ini pernah ditahan pada 2017 dan menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Papar selama setahun sebelum dibebaskan kerana berkelakukan baik. Tetapi pada 2018 dia ditahan semula kerana didapati positif syabu dan menjalani syarat pengawasan sehingga 2020.

“Bagaimanapun sikapnya tidak berubah dan makin teruk dia melanggar syarat pengawasan sebelum ditahan awal pagi tadi,” katanya.

Menurutnya semua individu yang ditahan berusia 22 hingga 43 tahun.

Antara individu yang disyaki penagih dibawa ke pejabat AADK Kota Kinabalu untuk menjalani pemeriksaan ujian saringan air kencing.-Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

“Suspek lelaki yang kononnya sultan ditahan mengikut Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 atas kesalahan gagal melapor diri. Enam lagi suspek termasuk dua wanita ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

“Operasi ini akan diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat kepada AADK Sabah atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

SabahNewsToday

2391