ADUN PBS Setuju Empangan Papar Bantu Tangani Masalah Air

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli Datuk Jahid Jahim tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya pembinaan Empangan Papar diteruskan sekiranya segala syarat diperlukan dipenuhi dengan betul.

Beliau, yang juga Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, sekiranya Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan perkara-perkara diperlukan untuk melaksana projek ini sudah dipenuhi maka, beliau tiada halangan terhadap pelaksanaan pembinaan empangan berkenaan.

“Sekiranya impak sosial, impak alam sekitar telah dipenuhi dan semua perkara diperlukan dapat diselarikan termasuk penerimaan penduduk setempat, saya tiada halangan kerana ini memang keperluan masa depan, dalam jangka panjang.

“Bagaimanapun kita harus mengambil kira impak terhadap penglibatan penduduk tempatan. Apabila mereka telah menerima pembinaan ini maka, tidak timbul masalah pada masa akan datang,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Adun Kuamut Datuk Masiung Banah yang bertanya sekiranya beliau bersetuju dengan pembinaan Empangan Papar.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Isnin.

Jahid berkata, beliau juga mahu Kementerian Pembangunan Infrastruktur agar melihat keperluan bekalan air di kawasan Tamparuli dan Tuaran.

Katanya, perkembangan industri perhotelan dan perkilangan sangat pesat di kawasan Tamparuli dan Tuaran maka, isu bekalan air perlu dipandang secara serius.

Beliau mempersoalkan persediaan Sabah untuk berdepan dengan kekurangan bekalan air di Empangan Kaiduan pada masa hadapan.

Projek pembinaan Empangan Papar yang akan dibina berhampiran Kampung Menderingin, Papar itu dijangka akan menelan belanja RM3bilion.

Pembinaan empangan ini juga akan mampu menjana 100 kilovolt-amphere (KVA) kuasa elektrik yang mampu menampung keperluan bekalan elektrik dari Papar hingga ke Kota Kinabalu.

Empangan itu juga dijangka mampu menampung air sejumlah 1,000juta liter sehari (MLD) dan itu akan membolehkan masalah kekurangan bekalan air di kawasan berhampiran dapat diatasi pada masa akan datang.

BorneoToday

101