Kerajaan Negeri Sasar Selesai Isu 40 Peratus Tuntutan Hasil Minyak Tahun Hadapan

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Yusof Yaacob sebelum sidang DUN di Dewan Undangan Negeri Sabah, hari ini. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menjangkakan tahun hadapan sebagai garis masa bagi penyelesaian isu tuntutan hasil minyak 40 peratus seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata memang terdapat tempoh masa bagi menyelesaikan isu berkenaan disebabkan pihaknya tidak mahu ia berterusan.

“Kita sebolehnya atasi isu ini tahun hadapan dan tidak mahu ia ditangguhkan lagi. Bagaimanapun, kerangka ini memiliki empat perkara utama yang membabitkan pindaan perlembagaan selain terdapat beberapa isu perlu diperhaluskan.

“Apabila pungut hasil, 40 peratus harus diberikan kepada Sabah tetapi kena lihat semula kerangka perundangan yang ada.

“Kita juga tidak hanya menekankan berkaitan royalti minyak dan dividen 20 peratus malah turut memandang aspek lain membolehkan negeri ini menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan diajukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan, Datuk Masidi Manjun (Bersatu) ketika sesi soal jawab sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Kali Ke 15, dekat sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) dicadangkan menubuhkan Majlis Khas bagi menggantikan Jawatankuasa Khas Kabinet dalam langkah menyemak pelaksanaan MA63.

Mohd Shafie berkata penubuhan Majlis Khas berkenaaan adalah bertujuan bagi memantau kemajuan semua keputusan yang sudah dibuat  oleh Jawatankuasa Khas Kabinet MA63.

“Majlis Khas ini bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad  dan dianggotai ahli-ahli di peringkat kerajaan persekutuan.

“Manakala Ketua Menteri Sabah serta Sarawak selain ahli-ahli lain mengikut keperluan.

“Ia juga akan ditubuhkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambunan, Datuk Dr Jeffery Kitingan (Star).

Jeffery mengemukakan soalan mengenai pencapaian dan keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 pusat tentang hak-hak Sabah khususnya pembayaran balik hasil bersih 40 peratus yang diperolehi dari Sabah serta duti ekspot 10 peratus ke atas petroleum menggantikan royalti di bawah Artikel 112C dan bahagian lV dan V jadual ke 10 Perlembagaan Malaysia.

Menurut Mohd Shafie, berhubung duti eksport 10 peratus ke atas petroleum seperti mana dinyatakan di dalam Seksyen 3 Bahagian V Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, perkara itu adalah antara isu yang dirundingkan dalam tuntutan kerajaan negeri ke atas janji 20 peratus royalti minyak dalam Manifesto Pakatan Harapan bersama Petronas pada forum berasingan yang dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Ketua Menteri.

“Isu ini akan dibincangkan bersama Perdana Menteri dalam mesyuarat yang dijangka diadakan pada Disember ini.

“Selain itu, 20 peratus royalti minyak yang dijanjikan seperti Manifesto Pakatan Harapan masih lagi dalam proses rundingan bersama Petronas. Setakat ini, belum ada maklum balas diterima daripada pihak Petronas berkaitan cadangan itu,” katanya.

Sementara itu, lapan isu dari 21 perkara yang dikemukakan dalam MA63 sudah  dipersetujui bersama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri pada 18 November lalu.

Lapan perkara berkenaan adalah duti eksport balak dan hasil hutan, pengedaran gas dan kuasa awal selia elektrik dan pengedaran gas, kerja raya persekutuan dan negeri, tenaga buruh, kuasa negeri ke atas iasu kesihatan, kuasa negeri ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan, isu pertanian dan perhutanan serta obligasi kewangan persekutuan di bawah senarai bersama.

SabahNews Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *