Warga Filipina Berdepan Hukuman Gantung Sampai Mati

Pegawai polis menunjukkan dadah jenis syabu yang ditemui dalam kenderaan dinaiki suspek.-Gambar SNT/Ihsan IPD KK

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Filipina berdepan hukuman gantung sampai mati selepas ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 50.15 gram di kawasan parkir Sabah Port, di sini semalam.

Dalam kejadian 3.25 petang itu, suspek berusia 31 tahun dikesan berada di dalam kereta jenis Proton Waja dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan sepasukan polis.

Dadah jenis syabu yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki warga Filipina di kawasan parkir Sabah Port, Kota Kinabalu. -Gambar SNT/ Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki suspek menemui satu peket plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang disorok dibawah tempat duduk pemandu.

“Suspek dan barang rampasan dadah syabu seberat 50.15 gram bernilai RM7,523 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk membantu siasatan.

“Siasatan diteruskan bagi mengenalpasti dan mengambil tindakan ke atas ahli sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata suspek warga Filipina direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan Seksyen 7 ADB FOP 1988 bagi sitaan.

“Kejayaan tangkapan ini adalah berdasarkan maklumat risikan dan maklumat awam ke atas sarang-sarang penagih dadah bagi memastikan kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibendung sepenuhnya,” katanya.

SabahNewsToday

3579