KOTA KINABALU, 18 Nov — Projek pembinaan jalan raya Telipok-Kiulu-Rondogung-Ranau dijangka siap lebih awal berbanding dengan jadual asal ditetapkan, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.
”Status kemajuan pelaksanaan pembinaan projek jalan raya itu kini sudah mencapai 97.03 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 23 Dis ini,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Joniston (PBS-Kiulu) ingin tahu bila pembinaan jalan raya Telipok-Kiulu-Rondogung-Ranau dijangka siap sepenuhnya dan adakah ia menepati jadual.
Projek pembinaan jalan raya sepanjang 60 kilometer itu dilaksanakan mulai 2016 dengan melibatkan kos RM288 juta.
Dalam pada itu, Peter ketika menjawab soalan tambahan daripada Joniston berkata, pembayaran pampasan kepada semua pemilik tanah telah dimuktamadkan dan semua tuntutan itu kini berada di peringkat akhir untuk disahkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah.
“Saya percaya semua pembayaran pampasan itu akan dapat dilaksanakan segera selepas mendapat pengesahan,” katanya.
Joniston ingin tahu berapa jumlah pembayaran pampasan yang sudah dikenal pasti dan bilakah ia akan dibayar kepada pemilik tanah.
BERNAMA