Dua Lelaki Ditahan Curi Kereta Di Ranau

Dua lelaki terbabit diberkas oleh Rela dan penduduk kampung. Gambar SNT/Ihsan IPD Ranau

RANAU: Dua lelaki ditahan ketika cuba melarikan diri selepas mencuri sebuah kereta jenis Perodua Axia yang diparkir di hadapan kedai runcit, di sini, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan jam 8.45 pagi oleh beberapa penduduk kampung termasuk anggota Rela di kawasan Kampung Tungou.

Berikutan itu, kedua-dua mereka kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata kedua-dua suspek itu terbabit kes curi kenderaan pada 16 November lalu di hadapan sebuah kedai runcit di daerah ini.

Katanya, polis dengan bantuan Rela dan orang ramai berusaha mengesan dan menangkap suspek sejurus selepas kejadian.

“Tangkapan berusia 26 dan 30 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua suspek terbabit mempunyai beberapa rekod tangkapan dari daerah lain,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Shahrul berkata pihaknya turut merampas senjata jenis buku lima dan pisau lipat.

“Terima kasih diucapkan kepada Rela Ranau dan masyarakat yang terbabit dalam membantu mengesan hingga tertangkapnya suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *