Pusat Serenti Baharu Dibina Di Tawau

Zulkifli Abdullah ketika menghadiri majlis makan malam AADK bersama ketua pengarah, semalam.

TAWAU: Cadangan pembinaan Pusat Pemulihan Cure And Care (CCRC) kedua di Sabah dalam proses mendapatkan kelulusan tanah daripada kerajaan negeri.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya sudah mengenal pasti tanah seluas 12 hektar di Balung bagi tujuan pembinaan projek itu.

“Sebelum ini, AADK mencadangkan pembinaan dibuat di Kalabakan, namun atas faktor tertentu seperti jarak jauh dan keadaan tanah yang kurang sesuai, cadangan pembinaannya dipindahkan ke Balung.

“Saya sendiri sudah meninjau lokasi baharu itu dan lebih sesuai selain terletak berhampiran jalan raya utama antara Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Semporna,” katanya kepada media, di sini semalam.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Makan Malam AADK Bersama Ketua Pengarah di Pekarangan Pejabat AADK.

Turut hadir, Pengarah AADK negeri, Hamediee Ibrahim dan Ketua AADK daerah Abdul Gani Keruput.

Tambahnya, sebaik selesai peringkat perolehan tanah dilakukan, Kerajaan Pusat akan memproses permohonan termasuk membabitkan peruntukan bajet untuk pembinaan CCRC baharu itu.

“Dianggarkan CCRC ini mampu menempatkan 250 hingga 300 penghuni dalam satu masa.

“Ia akan menjadi pusat pemulihan yang lengkap dalam menyediakan rawatan dan kaunseling kepada penghuni,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut bercadang mewujudkan CCRC khusus untuk wanita di Keningau.

“Setakat ini, semua penghuni wanita di Sabah akan dihantar ke negeri lain untuk tujuan rawatan.

“Justeru, AADK melihat CCRC wanita perlu diwujudkan di Sabah bagi membolehkan mereka dekat dengan keluarga sepanjang sesi rawatan dilakukan,” katanya.

BorneoToday

399