Adira Akan Tuntut Hak Penjagaan Anak

KUALA LUMPUR: “Apapun yang akan terjadi, saya tetap akan menuntut hak penjagaan tiga anak.

“Tiga anak juga masih kecil dan saya tidak pernah berjauhan dengan mereka walau satu malam pun,” kata penyanyi, Adira Suhaimi, 28, ketika mengulas perkembangan kemelut yang melanda rumah tangga dengan suaminya, Datuk Seri Adnan Abu, 40.

Mengenai keputusannya untuk meneruskan permohonan cerai terhadap suaminya pula, katanya, dia tetap dengan pendiriannya itu.

Katanya, bukannya dia mahu bermain tarik tali kerana tetap dengan keputusan untuk meneruskan permohonan cerai terhadap suami seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Sebenarnya sudah lama saya turun dan naik mahkamah tetapi baru sekarang perkara ini dihidu ramai.

“Saya juga akan terima keputusan pihak mahkamah pada sebutan kes permohonan cerai ini pada Disember depan dengan hati tenang dan terbuka.

“Doakan yang baik-baik buat saya dan anak,” katanya.

Bagaimanapun, kata Adira, jika perceraian berlaku, dia tidak akan memisahkan tiga anak dengan bapa kandung mereka.

“Perceraian bukan bermaksud saya tidak menghormati bekas suami atau menghalang dia daripada bertemu anaknya,” katanya.

Adira ditemui pada sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 yang berlangsung di Balai Berita, Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada dia sudah sedia dengan status janda pada usia muda, katanya, dia memang sudah biasa hidup berdikari sejak dulu.

“Saya kuat dan tabah berdepan kemelut rumah tangga ini sebab anak. Merekalah sumber kekuatan saya sejak dulu.

“Saya juga tidak mahu ahli keluarga campur tangan kerana tidak mahu menyusahkan mereka dengan masalah rumah tangga,” katanya.

Terdahulu, spekulasi mengenai perceraian Adira dan suaminya timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika hamil anak ketiga.

Adira bernikah dengan Adnan yang juga ahli perniagaan di Songkhla, Thailand sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan, Adira dan Adnan memiliki tiga cahaya mata iaitu Anggrek, Asan dan Anggun.

Menerusi perkahwinan pertama Adnan dikurniakan lima cahaya mata.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *