Satu Lagi Bangkai Gajah Pygmy Ditemui Di Sungai Kinabatangan, Kali Ini Tanpa Kepala

Bangkai gajah pygmy yang sudah reput ditemui di Sungai Kinabatangan. – Jabatan Hidupan Liar Sabah

KINABATANGAN: Satu lagi bangkai gajah Pygmy Borneo ditemui terapung di Sungai Kinabatangan berkemungkinan besar mati akibat dibunuh.

Penemuan itu juga menjadikan jumlah gajah yang mati di Sabah sebanyak 21 ekor untuk tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Cristina Liew, berkata penemuan bangkai terbaru itu meningkatkan rekod kematian haiwan terlindung berkenaan.

Menurutnya, kejadian terbaru itu menyebabkan beliau sendiri hilang kata-kata untuk diungkapkan  lagi kerana ia sesuatu yang sangat mendukacitakan.

“Berdasarkan apa yang dilaporkan, besar kemungkinan gajah itu mati dibunuh.

“Tetapi belum dapat dipastikan sama ada gading gajah itu diambil atau tidak kerana kepala mamalia itu tidak ditemui,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu malam.

Mengulas lanjut, Cristina berkata satu kepupusan membabitkan haiwan mamalia besar di Sabah mungkin boleh berlaku.

“Namun, kita tidak akan membiarkan perkara itu berlaku dan tidak sekali-kali membiarkannya terjadi.

“Kita harus bekerjasama dengan semua pihak agar nasib gajah Pygmy Borneo tidak sama dengan nasib badak sumbu sumatra,” katanya.

Terdahulu, pada Isnin lalu bangkai seekor gajah ditemui terapung di Sungai Kinabatangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *