Safar Untong SKN Baharu Sabah

Safar Untong

KOTA KINABALU, 6 Nov: Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah Datuk Safar Untong dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah yang baharu berkuat kuasa 4 Nov lepas.

Beliau menggantikan Datuk Hashim Paijan yang bersara wajib pada 2 Nov.

Penyerahan watikah pelantikan dibuat semasa mesyuarat pasca Kabinet diikuti majlis serah terima tugas antara Hashim dan Safar di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan berkata kerajaan negeri bersetuju untuk melantik Safar sebagai SKN berikutan pengalaman luas dimilikinya dalam perkhidmatan awam Sabah.

Safar, 55, mula menyertai perkhidmatan awam Sabah pada Oktober 1987 sebagai Juru Ukur Daerah.

Pemegang Ijazah Sarjana Sains (Pembangunan dan Pentadbiran Tanah) dari Universiti Teknologi Malaysia itu pernah menggalas pelbagai jawatan dalam jabatan termasuk Pegawai Juru Ukur Daerah, Bahagian Pantai Barat Selatan, Penolong Pemugut Hasil Tanah di Sandakan dan Penguasa Tanah dan Ukur.

Anak kelahiran Beaufort itu juga memiliki keahlian profesional dalam bidang juru ukur tanah termasuk Felo Institut Juruukur Diraja Malaysia, Juruukur Tanah Berdaftar, Sabah dan Juruukur Tanah Berdaftar, Semenanjung Malaysia.

Safar turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila menjadi Ahli  Royal Institution of Chartered Surveyor United Kingdom sejak 2016.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *