16 individu dijatuhkan hukuman mati kerana membakar seorang pelajar perempuan sehingga mati selepas mangsa menuduh pengetua sekolah melakukan serangan seksual terhadapnya.
Nusrat Jahan Rafi, 19, diikat dan disimbah dengan minyak tanah lalu dibakar di atas bumbung sekolahnya di Feni, sebuah pekan kecil 100 batu dari Dhaka, Bangladesh, dalam kejadian April lalu.
Pengetua Siraj Ud Doula adalah antara tiga guru yang didapati bersalah dalam kes itu, termasuk seorang pemimpin parti politik tempatan.
Pendakwaraya berkata, penyerang telah memaksa Nusrat menggugurkandakwaan terhadap pengetua sekolah. Namun Nusrat tidak mahu berbuat demikian menyebabkan dia dibakar.
Suspek yang terlibat cuba menjadikan kejadian itu sebagai kes bunuh diri tetapi perancangan itu gagal apabila mangsa berjaya melarikan diri meskipun mengalami kecederaan akibat terbakar.
Mangsa berlari meminta bantuan orang awam sebelum dibawa ke hospital.
Doktor mengesahkan 80 peratus badannya melecur akibat terbakar.
Ketika dalam perjalanan ke hospital, adiknya merakam video dan menjelaskan apa yang telah menimpa kakaknya itu dan sempat mendedahkan nama-nama suspek yang terlibat.
“Cikgu itu sentuh saya, saya akan lawan jenayah ini sampai ke nafas terakhir saya,” katanya yang meninggal dunia selepas lima hari kemudian.
Kematian mangsa mencetuskan kemarahan orang awam yang menuntut pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap suspek.
Turut didedahkan rakaman video Nusrat datang ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kes itu pada Mac lalu tetapi ketua balai polis itu tidak mengendahkan laporan itu dan menganggapnya sebagai kes remeh.
Sumber: Daily Mail