KOTA KINABALU: Suspek utama kes bunuh menggunakan senapang patah atau ‘bakakuk’ di Kampung Linayukan, Tongod berjaya ditahan pagi ini selepas bersembunyi di dalam hutan selama tiga hari.
Suspek berusia 40 tahun itu dikatakan ditahan awal pagi ini oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kampung Malagatan yang membantu polis memburu suspek.
Ketika ditangkap, suspek dikatakan dalam keadaan kelaparan.
Faktor tersebut dipercayai menjadi punca suspek keluar dari tempat persembunyiannya di dalam hutan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam Selasa lalu, mangsa, Minus Malit, 40, maut selepas beberapa butir peluru menembusi dada mangsa sehingga ke belakang.
Terdahulu, mangsa dikatakan menyambut hari jadi salah seorang keluarganya di rumah mereka di kampung itu bermula pukul 2 petang yang turut menghidangkan arak sebelum suspek datang pada pukul 6 petang dan minum bersamanya.
Namun difahamkan, berlaku pertikaman lidah antara mangsa dengan suspek yang tidak diketahui puncanya menyebabkan suspek pulang ke rumahnya pada pukul 8.30 malam.
Seterusnya pada pukul 9 malam suspek telah datang semula ke rumah mangsa dengan membawa selaras senapang bakakok lalu melepaskan sedas tembakan ke udara dan mencabar mangsa untuk keluar dari rumah bersemuka dengannya.
Mendengar cabaran itu, mangsa telah mencapai sebatang tukul yang berada berhampiran dengannya dan terus bergerak menuju ke arah suspek sebelum dia ditembak.
Sementara itu, pihak polis masih belum mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut.