Samun Empat Kedai 24 Jam Dalam Tempoh Sejam, 3 Warga Tempatan Diburu Polis

Habibi menunjukkan wajah suspek utama yang melakukan samun empat kedai 24 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Sekumpulan tiga lelaki termasuk seorang disenaraikan ‘wanted’ nekad menyamun empat premis kedai 24 jam di sekitar daerah ini dalam tempoh sejam.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun turut menggunakan parang dan petrol untuk menggertak pekerja premis sebelum melarikan wang tunai, telefon bimbit dan barangan terutama rokok.

Suspek utama Mohd Faizal Abrahim, 26, diburu polis. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati kejadian samun pada 20 Oktober lalu iaitu empat kejadian samun yang dilakukan tiga lelaki bersenjata parang.

“Kejadian pertama berlaku pada jam 4.25 pagi di pekan Telipok. Ketiga-tiga suspek yang mana suspek bersenjata parang mengugut seorang pekerja sebelum melarikan wang tunai dan barangan rokok.

“Selang lima minit selepas kejadian pertama suspek turut menyamun sebuah lagi kedai 24 jam di kawasan sama dengan mondus operandi yang sama.

Perbuatan suspek yang dirakam melalui CCTV ketika melakukan samun di empat kedai 24 di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Setengah jam selepas itu, suspek sekali lagi melakukan samun di mana kali ini suspek bertindak kejam menetak seorang pekerja di premis berkenaan hingga luka dan menerima lapan jahitan di kepala sebelum melarikan wang tunai dan barangan runcit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Habibi berkata tidak terhenti di situ, mereka sekali lagi melakukan samun kali keempat di sebuah kedai 24 jam di Sepanggar dengan modus operandi yang sama.

“Kejadian empat samun ini menyebabkan kerugian berjumlah RM5,000 berupa wang tunai, telefon bimbit, dan barangan terutama rokok.

“Semua suspek ini menggunakan kereta Perodua Myvi warna putih dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Jelas beliau, siasatan yang dilakukan polis telah mengenal pasti salah seorang suspek yang mana dia adalah suspek utama dalam merancang melakukan empat samun empat kedai 24 jam.

“Suspek Mohd Faizal Abrahim, 26, warga tempatan yang beralamat di Kampung Seri Menanti, Beluran mempunyai 10 kes jenayah membabitkan lima pecah rumah, tiga jenayah dadah dan dua kesalahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah.

“Suspek ini telah disenaraikan hitam kerana melanggar perintah sekatan dan diarah menjalani perintah sekatan di daerah Menumbuk bermula 11 Julai 2019 hingga 10 Julai 2021. Namun melanggar perintah sekatan dengan melakukan samun di daerah ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, suspek ini agak bahaya dengan jenayah yang dilakukanya dan masyarakat di luar sana yang mempunyai maklumat supaya menghubungi IPD Kota Kinabalu untuk tindakan susulan.

“Ketiga-tiga suspek ini warga tempatan berusia 20 hingga 30 tahun. Polis sudah mengenal pasti semua suspek terbabit dan akan melakukan tangkapan dalam tempoh terdekat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394/395 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata parang, samun berkawan dan samun mendatangkan kecederaan,” katanya. -SabahNewsToday.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *