Kenyataan Rahimah Majid Bercanggah Dengan Pandangan PKR Sabah

Rahimah Majid

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menafikan kenyataan Ketua Wanitanya, Rahimah Majid yang mendakwa kerajaan negeri hilang kredibiliti berhuhung pelantikan Pengarah Jabatan Air Sabah sebagai mewakili suara majlis pimpinan negeri.

Pengerusi Biro Disiplin PKR Sabah, Sazalye Donol berkata, kenyataan tersebut adalah pandangan peribadi Rahimah kerana tidak mewakili suara majoriti.

SAZALYE DONOL

Katanya, PKR sebaliknya percaya pelantikan Datuk Amarjit Singh menjawat jawatan itu telah mengambil kira pandangan sewajarnya termasuk perundangan sementara kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Rayuan.

“Sebagai parti yang menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, setiap pemimpin  digesa menggunakan saluran yang betul untuk menyalurkan pandangan supaya tidak mengeruhkan kerjasama baik di antara PKR dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Sepatutnya beliau maklum bahawa Kerajaan Sabah ini terbentuk oleh gabungan kerjasama antara parti termasuk PKR, menuduh Kerajaan negeri kehilangan kredibiliti bermakna mengaitkan parti sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal kelmarin dilaporkan berkata, pelantikan Amarjit tidak menjejaskan imej kerajaan negeri.

Mohd Shafie menyatakan perlantikan Amarjit bukan menyalahi undang-undang sebaliknya pihak mahkamah hanya memutuskan pelantikan itu hanya bertentangan dengan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003, namun tidak dinyatakan lantikan itu tidak sah.

Ahad lalu, Rahimah mengkritik tindakan kerajaan mempertikaikan pelantikan Amarjit yang dikatakan tidak sah di sisi undang-undang.

Sazalye berkata, sebagai Pegawai Khas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pusat, Rahimah sepatutnya fokus dalam usaha memantapkan kerjasama dengan kementerian dan agensi negeri agar penyaluran peruntukan dapat dioptimumkan dan mencapai objektif kementerian.

“Sebagai Pengerusi Biro Disiplin Parti, kami sedang giat memantau kenyataan  yang dibuat oleh pemimpin dan ahli-ahli parti.

“Saya mohon agar semua pemimpin dan ahli- ahli dapat mematuhi perlembagaan dan etika parti serta menghormati hubungan kerjasama antara parti,” katanya.

BorneoToday

24