Ganjaran RM50,000 Untuk Pemberi Maklumat Kes Bunuh Gajah Di Beluran

RSPO menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat kes pembunuhan gajah Pygmy Borneo yang bangkainya ditemui di Ladang Bimbingan (IOI), Beluran, Jumaat lalu. – Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

KOTA KINABALU: Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat kes pembunuhan gajah Pygmy Borneo yang bangkainya ditemui di Ladang Bimbingan (IOI), Beluran, Jumaat lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Darrel Webber, mengutuk insiden terbaru pembunuhan haiwan itu, sekali gus merayu orang ramai yang ada maklumat agar tampil membantu usaha membanteras pemburuan haram hidupan liar di negeri ini.

RSPO menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat kes pembunuhan gajah Pygmy Borneo yang bangkainya ditemui di Ladang Bimbingan (IOI), Beluran, Jumaat lalu. – Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah

Beliau menjelaskan, ganjaran itu yang akan diselaraskan melalui Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) ialah antara langkah diambil dalam inisiatif pemuliharaan gajah.

“Pembunuhan terbaru gajah ini adalah simptom kepada masalah lebih besar jika kita tidak masuk campur.

“Terbabit dalam kerja pemuliharaan di Sabah, saya tahu dua masalah utama gajah di negeri ini, iaitu jurang haiwan itu dengan laluannya yang banyak dipengaruhi oleh pembangunan. Ia menyumbang kepada konflik antara manusia dengan gajah.

Bangkai seekor gajah Pygmy Borneo dengan kesan tembakan dan gading hilang ditemui dalam sebuah ladang, di Beluran. Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

“Kedua, peningkatan pemburuan gajah untuk mendapatkan gading,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bulan lalu, seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati dengan 70 kesan tembakan dan gadingnya juga dipotong di Sungai Udin, Dumpas, Tawau.

Darrel menegaskan, pihaknya prihatin terhadap usaha menghentikan pemburuan haram hidupan liar dan berpendapat industri utama, khususnya sektor pelancongan serta kelapa sawit, perlu turut memainkan peranan dalam mengurus populasi gajah bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.

“RSPO memahami bahawa mengimbangi keperluan antara spesies gajah dengan keperluan penduduk adalah masalah besar.

“Kita berharap inisiatif kerajaan negeri, industri dan masyarakat untuk menangani kelestarian sektor minyak sawit dapat menyumbang pendekatan menyeluruh dalam menguruskan populasi gajah di negeri ini.

“Antara inisiatif itu ialah mengenal pasti kawasan konservasi yang penting dan kita berharap koridor laluan gajah boleh disediakan,” katanya.- Berita Harian

41