Saya Akan Ambil Tindakan Undang-Undang – Vui Keong

Datuk Liew Vui Keong

SANDAKAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, menggesa pucuk pimpinan Parti Liberal Demokratik (LDP) memberi penjelasan berhubung dakwaan beliau menerima wang berjumlah lebih RM1 juta.

Beliau menegaskan, ia adalah fitnah besar terhadapnya dan keluarga serta menyifatkan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin dan Bendahari LDP, Fong Ken Sin, memberi keterangan palsu menerusi dua afidavit yang difailkan di Mahkamah Kuala Lumpur.

Menerusi dua afidavit itu, Vui Keong didakwa menerima cek, masing-masing berjumlah RM910,000 dan RM100,000 pada 2 Mei 2013 dan 3 Mei 2013.

“Ini adalah fitnah terbesar dan (mereka) beri keterangan palsu dalam afidavit. Saya sudah melihat cek itu dan dapati tiada tandatangan saya, sebaliknya ditandatangani oleh Setiausaha Agung LDP ketika itu iaitu Datuk Teo Chee Kang dan bendahari, Fong Ken Sin.

“Bagaimana saya boleh tunaikan cek itu memandangkan nama saya tiada dalam cek tunai? Mereka perlu beri penjelasan, bukan saja kepada saya, malah ahli LDP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri lawatan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, di Mahkamah Sandakan di sini, hari ini.

Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi dan bekas Presiden LDP, menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang dan membuat laporan polis dalam masa terdekat bagi membolehkan dakwaan itu disiasat.

“Saya amat terkejut kerana isu ini tidak pernah dibangkitkan pada 2013 ketika ada kemelut kepemimpinan (dalam LDP) pada masa itu.

“Saya juga tidak pernah melihat cek itu sehingga dijadikan eksibit (bahan bukti) dalam afidavit mereka,” katanya.

Menurutnya, dakwaan beliau menerima wang cuma dibangkitkan melalui afidavit apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita wang LDP yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *