
KERETA DINAIKI SEKELUARGA TERBABAS, SEORANG MAUT
KINABATANGAN: Seorang wanita maut selepas kenderaan jenis Proton Wira dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terbabit kemalangan di Kampung Sentosa Jaya, di sini petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Lisa Muslimin, 18, maut di lokasi kejadian manakala seorang wanita Hasmiah Samauna, 39, parah dan kini menerima rawatan di hospital berhampiran.

Dua lagi mangsa lelaki iaitu Supriadi Muslim dan Muslim Roja dilaporkan selamat dalam kemalangan tersebut.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan pukul 2.06 petang dan bertindak ke lokasi kejadian.
Empat anggota dan seorang pegawai kemudian bergerak ke lokasi sejauh 20 kilometer (km) menaiki sebuah jentera penyelamat.
“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Wira dinaiki empat mangsa dipercayai terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Seorang mangsa wanita disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala seorang wanita lagi cedera parah dihantar ke hospital menggunakan ambulan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi kemudian ditamatkan pukul 3 petang. – SabahNewsToday