956 Badan Keagamaan, Sekolah Bukan Islam Di Sabah Terima Bantuan Kewangan

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 18 Okt: Sebanyak 956 badan keagamaan dan sekolah bukan Islam di Sabah menerima bantuan kewangan daripada kerajaan negeri pada tahun ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata 665 penerima terdiri daripada badan keagamaan termasuk gereja pelbagai denominasi, tokong serta kuil, manakala 291 lagi melibatkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Missions Schools termasuk sekolah-sekolah tadika bukan Islam.

“Kerajaan negeri telah menaikkan jumlah bantuan kepada badan-badan keagamaan dan sekolah bukan Islam daripada hanya RM32 juta sejak sekian lama kepada RM35 juta pada tahun ini,” katanya ketika berucap sempena majlis penyerahan bantuan kewangan kepada badan-badan keagamaan dan sekolah-sekolah bukan Islam, di sini hari ini.

Katanya melalui Jawatankuasa Pemeriksa, bantuan itu memberikan keutamaan kepada bangunan sekolah dan rumah-rumah ibadat yang daif dan pengurusannya kurang mampu dari segi kewangan serta terletak di luar bandar.

Shafie berkata terdapat rumah ibadat dan sekolah-sekolah yang menghadapi masalah serangan anai-anai, sistem pendawaian elektrik yang usang dan perlu diganti serta keadaan tandas yang uzur dan tidak dapat menampung jumlah murid yang semakin meningkat.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *