
LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan seorang lelaki warga asing yang didapati melanggar syarat permit atau pas yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen di perairan Pulau Papan di sini kelmarin.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata suspek warganegara Pakistan berumur 22 tahun itu ditahan semasa anggotanya menaiki Botronda PSC1 kira-kira jam 4.30 petang.

“Semasa anggota kita menjalankan pemeriksaan terhadap bot laju itu, suspek mengemukakan pasport dipercayai tanpa pemeriksaan dan cop daripada pihak Jabatan Imigresen.
“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menggunakan laluan Kuala Lumpur-Labuan-Kuala Lumpur untuk bergerak masuk dan keluar Sabah sebagai cara mengelak pemeriksaan Imigresen,” katanya.
Menurutnya hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek berjaya menemukan tiket penerbangan sebuah syarikat penerbangan dari Labuan ke Kuala Lumpur.
Tambahnya suspek kemudiannya dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Labuan untuk tujuan dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
“Suspek didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan keberadaan suspek di Sabah meragukan,” katanya.
Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
