Kerajaan Perlu Dedahkan Formula Digunakan Untuk Pemberian Khas Kepada Sabah & Sarawak

KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU DEDAHKAN FORMULA DIGUNAKAN UNTUK PEMBERIAN KHAS KEPADA SABAH DAN SARAWAK

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran mendedahkan formula yang digunakan dalam pengagihan Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu pada dasarnya belum dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) meskipun sebelum ini ia pernah dibangkitkan sama ada oleh pihak Sabah atau Sarawak.

“Walaupun tidak berapa gembira dengan peruntukan buat Sabah (dalam Belanjawan 2020), namun kerajaan Sabah tetap berterima kasih kepada Kementerian Kewangan.

“Cuma kita ingin mengetahui formula yang digunakan oleh Kementerian Kewangan dalam mendapatkan angka untuk Pemberian Khas itu,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sempena lawatan balas rakan sejawatan beliau itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini pada Isnin.

Rombongan kerajaan Sarawak turut disertai tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Speaker Dun Sarawak, Datuk Amar Asfia Awang Nassar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Sementara itu Abang Johari menegaskan kerajaan Sarawak menerima Pemberian Khas kepada negeri itu seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini.

“Apabila kita hanya mendapat sejumlah (peruntukan) tersebut, kita terimalah tapi sudah tentu kita berharap agar mendapat lebih dalam agihan tersebut.

“Kita hanya ingin tahu formula yang betul dalam pengiraan berapa banyak yang anda perlu berikan kerana ia tidak boleh menjadi pemberian sekaligus sahaja… ia mesti ada formula tertentu yang digunakan.

“Orang kata… kalau susah sama susah .. kalau senang sama senang, kita tak mahu dia senang dia lupa Sabah Sarawak. Yang ini kita takut,” ujarnya.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan Negara untuk 2020 berkata kerajaan bercadang untuk menggandakan pemberian khas tahunan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak bermula tahun depan.

Jelasnya sejak 1969, pemberian khas yang merupakan sebahagian daripada geran persekutuan itu, iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak, belum pernah disemak semula.

“Oleh itu buat pertama kalinya bermula tahun 2020, kerajaan Pakatan Harapan bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak,” katanya.

Lim berkata bagi menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan menggandakan lagi kadar pemberian khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun.

SabahNewsToday

105