
SANDAKAN: Polis menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kemalangan yang menyebabkan empat maut dalam kemalangan di Batu 37, Jalan Sandakan-Telupid, di sini, semalam.
Setakat pagi ini, polis mengesahkan seorang mangsa dikenali iaitu pemandu kereta PROTON Saga, Hassan Arasad, manakala tiga lagi mangsa belum dikenali identitinya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Ladang Telisai ke Sandakan, dan cuba memotong kenderaan lain, sebelum bertembung dengan lori tiga tan yang datang dari arah bertentangan.
Pemandu lori yang berusia 30 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata semua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.
“Ketika kejadian, keadaan cuaca adalah baik dan jalan kering. Bedah siasat akan dijalankan hari ini di Hospital Duchess of Kent, Sandakan,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berita Harian