Jambatan Tidak Bersungai Di Bingkor: Projek Pembinaan Di Luar Pengetahuan MPKK

Foto Media Sosial

KENINGAU, 14 Okt: Projek pembinaan jambatan gantung di kawasan tidak mempunyai sungai di Kampung Kamansi, Bingkor, di sini adalah di luar pengetahuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Peter Daigo berkata pembinaan jambatan gantung itu sepatutnya dilaporkan terlebih dahulu kepada pihak MPKK agar ia dapat dibina di kawasan yang lebih mendesak.

Foto Media Sosial

Beliau berkata jambatan gantung itu sepatutnya dibina di Kampung Tongkungon yang merentasi Sungai Bayayo.

“Jambatan baharu itu (jambatan di Bingkor) hanya berfungsi ketika banjir besar namun penduduk mempunyai alternatif lain untuk tidak melalui laluan itu jika situasi banjir boleh membahayakan pengguna. 

“Apa yang ingin saya jelaskan di sini ialah kewujudan jambatan itu tidak begitu mendesak berbanding pembinaan jambatan baharu menggantikan jambatan sedia ada yang telah usang di Kampung Tongkungon,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Foto Media Sosial

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick dilapor meluahkan rasa terkilan apabila menerima laporan bahawa terdapat sebuah jambatan gantung yang dibina di kawasan yang tidak mempunyai sungai di kawasan Bingkor.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi jambatan itu dibina mendapati sebuah sungai buatan dibuat di bawah jambatan gantung itu.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *