Indeks Jenayah Di Sandakan Turun 3.98 Peratus

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin

SANDAKAN, 14 Okt: Indeks jenayah di Sandakan dari Januari hingga September tahun ini menurun sebanyak 3.98 peratus iaitu daripada 483 kes berbanding 503 kes dalam tempoh sama tahun tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin, berkata, dalam tempoh tersebut tahun ini, sebanyak 61.49 peratus kes jenayah berjaya diselesaikan berbanding 58.28 peratus tahun lalu dengan hampir 50 peratus kes tersebut telah dihadapkan di mahkamah.

Sepanjang bulan lalu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, berjaya menyelesaikan 20 kes dengan jumlah kerugian dianggarkan RM52,000 dengan barangan rampasan dianggarkan bernilai RM30,000.

Antara kes yang berjaya diselesaikan ialah kes pecah rumah melibatkan ‘Geng Rahim’ yang telah melakukan sebanyak lapan kes sepanjang bulan lepas dengan nilai kerugian dianggarkan RM20,000, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Azhar berkata kumpulan itu tumpas selepas seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun ditangkap kerana memecah masuk sebuah rumah di Taman Anggerik, Batu 8 dekat sini, pada malam 27 Sept lepas.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai dua lagi rakan iaitu seorang tempatan berumur 32 tahun dan seorang warga Indonesia berumur 34 tahun, dan polis juga berjaya menangkap mereka,” katanya.

Mohd Azhar turut memberitahu dalam Operasi Dadu yang dijalankan selama empat bulan sejak Jun lepas, pihaknya telah melakukan 35 serbuan ke atas kegiatan perjudian di sekitar Sandakan dengan 21 lelaki dan 14 wanita ditangkap melibatkan nilai rampasan berjumlah RM7,022.

Beliau berkata operasi itu turut membuat 17 serbuan perjudian dalam talian dengan penangkapan lapan lelaki dan sembilan wanita melibatkan nilai rampasan berjumlah RM5,781.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *