Cadangan Jadikan Pulau Gaya Taman Pulau Bandaraya Kota Kinabalu Disokong

KOTA KINABALU: Cadangan mantan Ketua Menteri Tan Sri Harris Mohd Salleh agar kerajaan menjadikan Pulau Gaya sebagai taman pulau bagi Bandaraya Kota Kinabalu wajar diberikan perhatian.

Seorang pemimpin tempatan di Sepanggar, Haji Duman Tukimin menyifatkan cadangan itu amat baik dan mampu menjadi daya tarikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandaraya pelancong sekaligus meningkatkan tahap sosio ekonomi penduduknya.

Katanya, sudah sampai masanya Bandaraya Kota Kinabalu yang makin berkembang pesat memiliki taman pulau yang boleh diakses dengan mudah dan Pulau Gaya adalah tempat yang sesuai untuk dimajukan.

“Kerajaan mungkin boleh membina pelbagai kemudahan asas seperti jambatan, LRT dan pelbagai kemudahan lain jika dinaiktaraf sebagai taman pulau untuk Bandaraya Kota Kinabalu,” kata Duman yang juga ketua cawangan Warisan di Likas.
 
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan mantan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Harris Mohd Salleh seperti yang tersiar di media tempatan baru-baru ini.

Menurutnya, Pulau Gaya mampu menjadi ikon bagi Kota Kinabalu dan sebagai taman pulau, mungkin kampung-kampung yang terdapat di pulau itu dipindahkan ke tempat yang lebih baik dengan perumahan moden dengan sanitasi yang lebih baik dan sebagainya di Kinarut dan Menggatal.

Duman berkata, pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu perlu dibuat dengan lebih teratur dan terancang untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai kawasan pelancongan yang lebih terkenal di Asia.

Katanya, beliau amat bersetuju dengan cadangan mantan Ketua Menteri dalam menjadikan Sabah khususnya Kota Kinabalu menjadi kawasan tumpuan pelancongan di seluruh dunia.- Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *