KBS Komited Bangunkan e-Sukan Di Sabah

KOTA KINABALU, 13 Okt: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah akan melakukan beberapa perancangan termasuk mempertingkatkan peruntukan untuk membangunkan sukan elektronik (e-sukan) di negeri ini.

Menterinya Phoong Jin Zhe berkata kementerian itu komited untuk membangunkan sukan berkenaan  memandangkan e-sukan sudah menjadi industri yang menguntungkan.

“Oleh itu kini KBS akan mengutamakan e-sukan dengan menggalakkan lebih banyak penganjuran dan penyertaan khususnya golongan belia dalam sukan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Grand Final Gen Y Centre Cup E-Sport Tour Sabah 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata zaman telah berubah dan masyarakat perlu melihat e-sukan sebagai sukan baharu yang boleh menjana ekonomi negara.

“Kita mahu e-sukan menjadi satu industri yang selari dengan industri lain kerana sekiranya kita berjaya membangunkan e-sukan, seterusnya dapat menganjurkan satu kejohanan yang besar sudah semestinya ia menjadi pelancongan e-sukan yang menguntungkan,” katanya.

Phoong berkata untuk memastikan e-sukan berkembang di negeri ini, KBS telah membuat keputusan akan mempertandingkan e-sukan pada Sukan Sabah (SAGA) penghujung tahun ini.

“Pemenang yang akan memenangi acara itu akan mewakili Sabah dalam peringkat yang lebih tinggi…kita mahu menghasil ramai pemain e-sukan di Sabah,” katanya.

Mengulas mengenai Gen Y Centre Cup E-Sport Tour Sabah 2019, Phoong berkata 480 peserta dari  seluruh Sabah menyertai acara berkenaan.

“Tiga permainan yang dipertandingkan dalam acara ini iaitu Mobile Legend, PUBG, dan Tekken 7. Saya mengucapkan syabas kepada penganjur utama Gen Y Centre kerana buat julung-julung kalinya dapat menganjurkan pertandingan e-sukan terbesar di Sabah setakat ini. Kita mahu banyak lagi kejohanan seperti ini selepas ini bagi mencungkil lebih ramai pemain berbakat dalam e-sukan,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *