
KOTA KINABALU: Orang ramai dipercayai warga asing ‘membanjiri’ sekitar kawasan Dewan Serbaguna Luyang, di sini hingga mengundang tidak selesa penghuni di kawasan berkenaan.
Difahamkan kehadiran kumpulan itu dipercayai untuk mengurus dokumen pasport warga Filipina yang berada di Sabah oleh sebuah syarikat agen.

Bagaimanapun, kaunter pendaftaran bagi pengurusan berkenaan hanya dibuka seawal 8 pagi hingga 5 petang selama empat hari bermula esok.
Tinjauan oleh SabahNewsToday di kawasan itu mendapati lebih 500 orang dipercayai warga Filipina berkumpul lebih awal sejak petang tadi hingga menyebabkan kurang selesa dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan.
Ada juga individu membuka gerai menjual makanan di tepi jalan berhadapan dewan berkenaan selain membina khemah hingga kesesakan jalan raya raya di kawasan berkenaan.

Situasi itu mengundang pelbagai persepsi oleh penghuni di kawasan berkenaan dan orang ramai, malah beberapa pihak turut memuat naik situasi berkenaan di dalam Facebook yang menyatakan terkejut dan kurang selesa.
Keadaan itu menyebabkan beberapa anggota polis hadir ke lokasi untuk menjalankan pemantauan dan kira-kira 9.30 malam Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji turut ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan dan pemantauan.
Hadir sama, Datuk Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Nordin Siman dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Luyang yang juga Menteri Belia dan Sukan negeri Phoong Jin Zhe.

Kira-kira setengah jam selepas mengadakan perbincangan dipercayai wakil agen itu, kumpulan berkenaan mula bersurai dengan dikawal oleh anggota polis.
Habibi ketika ditemui berkata pihaknya telah meminta pihak yang mengurus hal berkenaan supaya memindahkan lokasi itu ke kawasan yang lebih bersesuaian.

“Kawasan itu (dewan) tidak sesuai dan kita arahkan pihak berkenaan mencari lokasi baru yang lebih sesuai,” jelasnya. – SabahNewsToday