Disangka Bercuti, Rupanya Mati

Trudy Dreyer (kiri) ditemui mati di sisi mayat teman lelaki Tim Ogle. Foto Mail Online

SYDNEY: Mayat sepasang kekasih ditemui dipercayai akibat seorang daripadanya menembak pasangannya sebelum membunuh diri, selepas mereka gagal menaiki pesawat untuk percutian mahal ke Amerika Selatan.

Mayat Tim Ogle, 48, dan Trudy Dreyer, 49, ditemui berlumuran darah dengan sepucuk pistol berhampiran mereka, di sebuah kediaman di Hunter Valley berhampiran Sydney pada petang Khamis.

Ahli keluarga yang bimbang menghubungi polis susulan ejen pelancongan memaklumkan pasangan itu gagal menaiki pesawat untuk percutian ke Amerika Selatan, lapor Daily Mail.

Polis percaya Ogle menembak Trudy sebelum membunuh diri.

Menurut news.com.au, pasangan itu dipercayai mati sejak beberapa hari lalu.

Seorang anggota keluarga yang enggan dinamakan berkata: “Kami semua terlalu sedih dengan kejadian ini. Kami menyangka Trudy sedang berseronok mengalami percutian impiannya, tetapi rupanya dia sudah mati.” – Agensi