Sabah Iktiraf UEC Syarat Masuk IPTA, Perkhidmatan Awam Negeri

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mereka diterima masuk masuk universiti dan tetapi masuk perkhidmatan awam negeri.

“Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di negeri Sabah. Kami telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Festival Kuih Bulan di Lintas Square di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, untuk calon Sabah yang menduduki peperiksaan Junior UEC, mereka perlu mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan bagi calon peperiksaan Senior UEC pula mesti menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, Jabatan Pendidikan Sabah menyokong keputusan mengiktiraf UEC, tetapi sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi, seseorang itu juga mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri juga bersetuju pemegang sijil UEC yang mahu dilantik dalam perkhidmatan awam, memerlukan kelayakan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan jabatan itu.

Pada masa sama, Mohd Shafie berkata mereka juga mesti mempunyai kelayakan minimum SPM yang diperlukan atau apa sahaja kelayakan yang ditetapkan kerajaan Sabah.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 1,153 pelajar di peringkat rendah dan 583 di peringkat tinggi dan mereka menduduki dua peperiksaan.

“Saya juga gembira bahawa daripada jumlah ini, 83 adalah Bumiputera,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *