22 PATI, 15 Warga Tempatan Ditahan Dalam Op Sarang Benteras Dadah

Polis membawa keluar seorang suspek dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah.

KOTA KINABALU: Seramai 22 Pendatang asing tanpa izin (PATI) manakala 15 lagi warga tempatan ditahan Op Sarang bagi membanteras aktiviti jenayah melibatkan dadah bermula 21 September hingga semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seorang suspek ditahan kerana menjadi pembekal dadah, 18 lagi kerana memiliki bahan terlarang itu manakala selebihnya gagal dalam ujian saringan urin.

Usaha membanteras penyalahgunaan dadah terutama di kawasan hotspot sekitar Kota Kinabalu akan terus dijalankan.

“Sebanyak 37 tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(A).

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah ialah 30.99 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1,549.5 mengikut harga semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa suspek diperiksa dalam sebuah rumah tumpangan.

Sementara itu, Habibi berkata, dalam operasi terbaharu di Kampung Air, Kampung Lukob dan di Pulau Sepanggar selama tiga hari antara 24 September hingga 26 September lalu, 15 suspek turut berjaya ditahan.

Menurut Habibi, operasi di Pulau Sepanggar turut mendapat kerjasama daripada Pasukan Polis Marin.

Tegas beliau, kejayaan tangkapan tersebut membuktikan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sentiasa serius membanteras penyalahgunaan dadah daripada menjadi barah dalam masyarakat.

“Usaha membanteras dadah di sekitar daerah Kota Kinabalu akan dilakukan dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

“Orang awam diminta menyalurkan maklumat kepada polis melalui hotline IPd iaitu 088529220 atau ke akaun Facebook IPD Kota Kinabalu,” katanya.