Lebih Mudah Majukan Kawasan Jika Bersama Kerajaan: Adun Labuk

Abdul Rahman bersama Mohd Shafie semasa sidang media pengumuman menyertai Warisan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Harapan untuk melihat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk kekal membangun menjadi dorongan kepada Abdul Rahman Kongkawang untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk itu berkata, ini kerana kesinambungan pembangunan daripada kerajaan terdahulu perlu diteruskan, justeru beliau yakin keputusannya untuk menjadi sebahagian daripada parti Pemerintah adalah tepat.

Abdul Rahman berkata, sebagai pembangkang, sukar untuk beliau menunaikan tanggungjawab membangunkan DUN Labuk, maka selepas berfikir panjang dan mendapatkan pandangan pelbagai pihak hari ini keputusan dibuat untuk menyertai Warisan secara rasmi.

“Semuanya ini adalah untuk kawasan DUN Labuk yang ada daerah Telupid dan Beluran memang satu daerah yang besar dan sudah tentu untuk pembangunan serta kesejehteraan bagi dua kawasan ini tidak boleh kita dapatkan kalau kita tidak bersama-sama dengan kerajaan.

“Saya berterima kasih kerana hasrat untuk menyertai parti Warisan ini diterima dengan seikhlasnya oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan rakan-rakan.

“Sudah tentu, selepas ini saya akan sendiri memastikan untuk menumpukan perhatian pada tanggungjawab saya selaku ADUN di kawasan saya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahman yang merupakan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama lapan pemimpin masyarakat di DUN Labuk menyerahkan borang keahlian Warisan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Abdul Rahman berharap, penyertaannya ke dalam Warisan tidak dipolitikkan kerana beliau mahu fokus untuk bekerja membangunkan kawasan diwakilinya.

“Kemasukan saya dalam Warisan membolehkan saya mengurangkan pemikiran kita yang hari-hari mahu politik, tapi lupa untuk menumpukan perhatian terhadap pembangunan yang diperlukan oleh rakyat di kawasan kita.

“Ini sebenarnya satu usaha yang sangat kami hargai dan membuktikan bahawa kerajaan hari ini sentiasa melihat keperluan masyarakat di setiap kawasan negeri Sabah,” tambahnya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *