‘Kemasukan Tiada Syarat, Sebaliknya Kami Ikhlas Sertai Warisan’ – ADUN Labuk

Abdul Rahman bersama Mohd Shafie semasa sidang media pengumuman menyertai Warisan di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: `Kemasukan kami ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) tiada syarat sebaliknya ia adalah keikhlasan kami semua untuk memastikan rakyat di kawasan Labuk terus mendapat pembelaan dan pembangunan,’ luah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang setelah sah menjadi ahli parti itu.

Bekas Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menjelaskan penyertaan beliau bersama beberapa ahli jawatankuasa (AJK) Wanita dan Pemuda PBS Cawangan Labuk dan ahli Umno kawasan itu diterima oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Tambah beliau selaku wakil rakyat Labuk, agenda untuk memajukan kawasan itu akan lebih mudah dan lancar apabila bersama kerajaan hari ini yang sememangnya mengutamakan pembangunan luar bandar.

“Sudah tentu kami akan menumpukan perhatian terhadap tugas selaku Adun Labuk. Kemasukan ke dalam Warisan membolehkan saya berkhidmat dengan lebih mudah bukan bermakna kerajaan tidak membantu kawasan pembangkang tetapi sekurang-kurangnya ia memudahkan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama tiga Ketua Cawangan PBS kawasan Labuk iaitu Nordin Lamsnih, Saharan Marpidi dan Tamiang Saraman menyerahkan borang keahlian ke dalam Warisan kepada Mohd Shafie di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Turut menyertai Warisan ialah ahli jawatankuasa (AJK) Wanita dan Pemuda PBS Labuk iaitu, Fency Mirsoh dan Sunny Silva Raja, bekas penolong pegawai daerah Beluran, Jamai Sikansa; AJK Umno Beluran, Abdul Rahim Diar dan ahli Umno Beluran, Andaraman Kahar.

Abdul Rahman yang menganggotai PBS sejak 30 tahun lalu turut menolak tanggapan bahawa tindakannya itu berunsurkan politik dan demi kepentingan peribadi semata-mata.

Ditanya reaksi Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengenai tindakannya itu, Abdul Rahman mengakui pucuk pimpinan parti itu memahami alasan yang mereka kemukakan iaitu untuk memastikan kesinambungan pembangunan masyarakat di kawasan Labuk.

“Kami telah memaklumkan dan menyerahkan surat kepada PBS semalam. Reaksi beliau (Maximus) agak sedih tetapi beliau memahami dan menerima keputusan ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya Mohd Shafie akan membuat lawatan rasmi ke kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Labuk dalam tempoh terdekat untuk melihat keperluan kawasan dan masyarakat setempat di situ. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *