Kehadiran Tun M Undang Kontroversi

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir pada sesi dialog sempena Forum Kepemimpinan Dunia University Columbia, di New York, semalam. – Foto BERNAMA

NEW YORK: Kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyampaikan ucaptama sempena Forum Kepemimpinan Dunia University Columbia, di sini, semalam mencetuskan kontroversi beberapa hari sebelum Perdana Menteri tiba di Amerika Syarikat (AS).

Ia susulan petisyen yang difailkan kelompok penyokong Israel kepada pengurusan universiti untuk tidak memberi laluan kepada Dr Mahathir berucap di institusi pengajian tinggi berkenaan, malah portal berita, New York Post memuat naik artikel bertajuk ‘Columbia mengalu-alukan ucapan menyuntik kebencian asalkan ia antisemitik (prejudis terhadap Yahudi)’.

Mengupas tajuk ‘Kedaulatan Undang-Undang dan Multilateralisme’, sesi dialog terbabit kekal fokus pada topik perbincangan sebelum seorang penuntut dilihat tampil memperkenalkan dirinya sebagai ahli penyokong Israel kampus terbabit dan mengajukan soalan kepada Dr Mahathir berhubung pendiriannya terhadap ‘Holocaust’.

Tampak bersahaja dan tenang, Dr Mahathir mengambil pendirian bahawa beliau berpegang kepada prinsip kebebasan mengutarakan pandangan, termasuk melemparkan kritikan terhadap golongan Yahudi.

“Kenapa saya tidak boleh kata apa-apa kepada Yahudi apabila ramai daripada mereka cakap pelbagai perkara buruk mengenai saya, mengenai Malaysia, dan saya tidak protes, saya tidak berdemonstrasi.

“Jika seseorang percaya dengan prinsip kebebasan berucap, ia sebenarnya mencakupi aspek di mana mereka harus ‘berlapang dada’ mendengar pandangan walaupun ia tidak sehaluan atau memihak kepadanya.

“Kebebasan berucap ialah anda bebas mengutarakan pandangan. Bila anda kata tidak, anda tidak boleh cakap seperti ini, tidak boleh jadi antisemitik (perjudis terhadap Yahudi), jadi ia bukan lagi kebebasan berucap,” katanya.

Mengimbau kenangan lalu, Dr Mahathir mengakui masih teringat mengenai kejadian yang menyaksikan beberapa wartawan United Kingdom (UK), selain segelintir individu dari Perancis dan Kanada dipenjarakan hanya kerana mempertikaikan jumlah kematian akibat ‘holocaust’.

“Saya tidak mempertikaikannya, tetapi saya ada (bertanya) siapa yang tentukan angka ini? Sekiranya keputusan dibuat oleh pihak berkepentingan, ia akan memberikan jumlah tertentu, manakala angka berbeza pula timbul dari kelompok ‘berhaluan kiri’.

“Jadi saya mengambil pendirian bahawa ‘holocaust’ memang berlaku yang menyaksikan ramai Yahudi terbunuh, malah pernah satu ketika saya bersimpati dengan mereka semasa perang tercetus.

“Ketika itu, saya sudah berada di sini untuk menyaksikannya, tetapi kamu belum lagi ada,” katanya.

Berita Harian