KOTA KINABALU: UMNO akan membuat tawaran baharu dengan mana-mana parti yang mahu bekerjasama sebagai persiapan menawan semula negeri Sabah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kewujudan UMNO Sabah sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi akan memberi peluang untuk menentukan hala tuju sendiri berasaskan landskap politik tempatan.
Kata beliau, Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar dalam limpahan pembangunan mapan apatah lagi bakal berjiran dengan ibu negara Indonesia baharu di Kalimantan.
“Oleh kerana Sabah mempunyai potensi cukup besar bersama Sarawak, apatah lagi Borneo atau Kalimantan di mana kita tahu Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian Tanah Borneo ini.
“Di mana potensi yang harus digali ini harus dijadikan sebagai sumber utama untuk dipulangkan kembali kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Oleh demikian UMNO Sabah amat komited untuk memperakukan rumusan yang akan dibuat pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersempena Konvensyen UMNO Sabah di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Hadir sama adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Mengulas mengenai pengkhususan strategi UMNO Sabah untuk menawan kembali negeri ini, Ahmad Zahid berkata ia terpulang kepada acuan kepimpinan UMNO Sabah untuk disesuaikan kepada landskap politik semasa.
“Saya telah menyatakan bahawa acuan Sabah adalah untuk rakyat Sabah maka kepimpinan Sabah mengetuai apakah bentuk acuannya untuk UMNO Sabah.
“Pada hemat kepimpinan di peringkat nasional hanya orang Sabah dan kepimpinan Sabah di dalam UMNO sahaja mengetahui apa yang perlu dipersesuaikan dari piagam penyatuan ummah ini mengikut landskap politik di Sabah,” katanya.