Nasib Bekas Pemain Bola Sepak Sabah, Paulus Jimit Terbela

Foto Facebook Datuk Peter Anthony

TAMBUNAN, 21 Sept: Penderitaan bekas pemain bola sepak Sabah, Paulus Jimit @ Mohd Firdaus yang menghidap penyakit angin ahmar mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), yang mengambil inisiatif membina sebuah rumah baharu di kampung Seberang Tabilung, di sini, khusus untuk didiami bekas atlet itu.

Presiden SAFA, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkata rumah baharu yang dilengkapi dengan kemudahan tiga buah bilik itu dibina di atas tanah milik pemain hebat era 70an hingga 90an itu sendiri.

Foto Facebook Datuk Peter Anthony

Beliau berkata Paulus, 57, ?lumpuh sebelah kanan badan sehingga mengakibatkan dia tidak dapat bertutur sejak 2015, dan pemain midfield itu merupakan antara pemain kebanggaan Sabah yang seangkatan dengan legenda bola sepak negeri seperti Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani.

“Sepertimana yang saya umumkan sebelum ini, kita akan bina sebuah rumah kepada saudara Paulus dan pada hari ini kita menyerahkannya, dan kedudukan rumah pun berada dalam keadaan baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan kunci rumah kepada Paulus dan turut disaksikan pemain skuad Tambadau Sabah, di kediamannya hari ini.

Peter berkata keadaan Paulus itu memberi ilham kepadanya agar SAFA dapat merangka pelan persaraan untuk bekas pemain Sabah bagi memastikan kebajikan mereka terjaga selepas bersara dari bola sepak.

Paulus yang dikurniakan enam cahaya mata itu pernah menyertai skuad belia Malaysia ke kejohanan sukan di UAE pada 1981, dan pada ???????1983 beliau dipanggil mewakili skuad Harimau Malaya, namun terpaksa menolaknya kerana komitmen kerja di Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tahun terakhir beliau beraksi bersama Sabah ialah pada 1990 bersama dengan legenda bola sepak Sabah antaranya Matlan Marjan dan Henry Anjun sebelum dilantik sebagai jurulatih skuad bawah 16 tahun Sabah.

Dalam pada itu, isterinya Sharifah Sudin, 53, melahirkan ucapan terima kasih kepada presiden SAFA kerana prihatin dengan kehidupan mereka sekeluarga.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Datuk Peter, mudah mudahan hidup kami akan lebih selesa dengan adanya rumah ini,” katanya.

BERNAMA