Kekurangan Kewangan Punca Kerajaan Pusat Belum Mampu Penuhi Tuntutan Royalti Minyak Sabah

KOTA KINABALU: Kekangan kewangan ketika ini mengakibatkan kerajaan pusat belum mampu memenuhi tuntutan negeri ini mendapatkan royalti minyak lebih tinggi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata banyak hasil kutipan kerajaan pusat digunakan bagi melangsaikan hutang berjumlah RM1 trilion yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Perjumpaan Khas Bersatu Sabah di Shangri-la’s Tanjung Aru Resort and Spa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Banyak duit kita gunakan untuk membayar hutang yang diambil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Itulah peninggalan Najib.

“Sekiranya ia tidak dapat diselesaikan maka negara ini diisytihar bankrap.

“Negara kekurangan kewangan ketika ini. Oleh itu, kita harus berbelanja secara bijak serta menentukan prioriti.

“Bagi prioriti yang tinggi, kita akan berikan wang manakala kurangkan pengeluaran kepada perkara lain yang kurang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pertemuan dengan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, dekat sini, hari ini.

Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan ahli parti ketika menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Bersatu Sabah di Shangri-la’s Tanjung Aru Resort & Spa, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Yang turut hadir ialah Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Beliau mengulas berkaitan kenyataan tentang kedudukan Sabah yang memerlukan lebih banyak dana yang boleh ditambah menerusi peningkatan royalti minyak bagi membiayai program pembangunan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bakal memperbaharui dasar pertanian di Sabah dan Sarawak dengan membangunkan teknologi baharu bagi memastikan rakyat di pedalaman boleh lebih berpendapatan.

“Ia antara penekanan digariskan kerajaan Pusat sejajar kedudukan kedua-dua negeri yang memiliki kawasan tanah yang luas seperti yang saya nyatakan dalam ucapan sempena sambutan Hari Malaysia di Kuching, semalam.

“Dua negeri ini sebenarnya lebih kaya berbanding kebanyakan negeri di Semenajung. Oleh itu, kita mahu perbaharui dasar pertanian moden yang dapat pastikan rakyat di pedalaman juga boleh menjadi kaya,” katanya ketika ditanya mengenai pemberian kerajaan Pusat kepada Sabah sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.

Sementara itu, Dr Mahathir menyatakan Sabah bukan negeri termiskin di negara ini malah  bakal muncul sebagai negeri paling kaya di negara ini apabila telaga minyak laut dalam yang diteroka di perairannya mengeluarkan hasil.

Terdahulu, beliau bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba di Kota Kinabalu pada jam 10.30 pagi dari Kuching dalam rangka lawatan sehari ke Sabah bagi mengadakan perjumpaan tertutup dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan jemaah Kabinet negeri selain mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Bersatu Sabah, sebelum berangkat pulang ke ibu negara, petang ini. -SabahNews today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *