RM78 Juta Diperuntukkan Untuk Baik Pulih Lebih 30 Sekolah Daif Di Sabah – Lim

KOTA KINABALU, 17 Sept: Kementerian Kewangan (MOF) memperuntukkan RM78 juta bagi kerja-kerja membaik pulih atau membina baharu kira-kira 30 sehingga 35 bangunan sekolah yang daif yang telah diabaikan sejak lebih 15 tahun di Sabah, tahun ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata pemilihan sama ada hendak dibaik pulih atau dibina bangunan baharu, diserahkan kepada kepada perbincangan dan penilaian yang akan dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama dengan Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Kita ada formula baharu iaitu kerajaan negeri Sabah akan terlibat lebih aktif dalam proses pembaikan semula sekolah-sekolah di kawasan pendalaman, bagi memantau proses-proses kerja itu” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas majlis “Dialog Bajet 2020 bersama Menteri Kewangan”, di sini hari ini.

Menurutnya MOF sentiasa berusaha untuk memastikan pembangunan pendidikan khususnya pembaikan sekolah-sekolah daif di Sabah dapat diberi perhatian.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri Sabah menyambut baik peruntukkan yang telah diluluskan oleh MOF bagi membantu untuk membaik pulih prasarana sekolah yang daif di Sabah, dan menurutnya beliau yakin peruntukkan itu akan membolehkan kerajaan negeri menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik kepada pelajar sekolah khususnya di kawasan pendalaman.

Merujuk kepada program dialog hari ini, Lim berkata ia merupakan siri jelajah yang diadakan oleh MOF hampir di setiap negeri termasuk Sabah bagi mendengar cadangan daripada pemegang taruh yang akan diambil kira oleh kementerian sebelum pembentangan belanjawan 2020 bulan depan.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *