Anwar Sambut Positif Sokongan Yang Dizahirkan USBO

Foto BERNAMA

KOTA BELUD, 17 Sept: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut positif sokongan padu yang dizahirkan Pertubuhan Bumis (Bajau, Ubian, Melayu, Iranun dan Suluk) Bersatu Sabah (USBO) terhadap kepimpinan beliau pada masa kini.

Beliau berkata sokongan yang dizahirkan oleh Presiden USBO yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penasihat USBO Datuk Seri Salleh Said Keruak tidak ada kaitan dengan politik kerana ia hanya sokongan daripada sebuah pertubuhan suku kaum.

“Saya agak terkesan kerana mereka memberikan sokongan kepada saya…dan apa yang kita bincangkan pada hari ini hanya mengenai kebudayaan dan tiada perbincangan mengenai politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Memperingati Hari Malaysia Sabah 2019 anjuran USBO di Dewan Seri Kilapi, Rampayan Laut, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Pandikar yang mewakili USBO turut menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Anwar selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri dan ia disambut tepukan dan sorakan gemuruh lebih 10,000 orang yang hadir pada majlis itu.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Anwar berkata apa yang penting sekarang adalah untuk membawa landskap politik baharu yang memikirkan rakyat dan menunjukkan teladan yang baik.

“Saya yakin rakyat akan bersama kita jika kita menunjukkan teladan yang baik. Soal menjadi Perdana Menteri, perkara ini sudah dibincangkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekarang gilirannya mentadbir, saya tidak ganggu.

“Namun apabila tiba giliran saya jadi Perdana Menteri, saya akan laksakana tanggungjawab itu sebaiknya. Saya akan pastikan ada perubahan yang baik pada masa hadapan dan saya akan teruskan tanggungjawab berkenaan tuntutan Sabah khususnya mengenai Perjanjian Malaysia 1963 seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa kini,” katannya.

Sementara itu, sambil menzahirkan sokongan kepada kepimpinan Anwar, Pandikar dalam ucapannya turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin paling layak atau ‘the last samurai’ untuk menerajui kepemimpinan negara selepas Mahathir.

“USBO menyokong penuh kepemimpinan Anwar dan  politik adalah dinamik dan keputusan kita pada hari ini kena ambil kira persekitaran politik masa kini…kita menyokong bukan disebabkan mahukan jawatan atau apa-apa imbuhan kerana kita yakin Anwar mampu menyatupadukan seluruh rakyat di negara ini,” katanya.

Pada masa yang sama, Salleh turut merakamkan terima kasih kepada Anwar kerana hadir merasmikan majlis berkenaan dan menyatakan kepimpinan Anwar kini berada di landasan yang betul bagi menyelamatkan Malaysia yang kini terdapat politik ekstrem yang boleh menghancurkan negara.

BERNAMA