Hilang Lebih Tiga Jam Ketika Keluar Buang Air Besar

Mangsa diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pegawai Perhutanan. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

LAHAD DATU : Seorang pemandu pelancong akhirnya ditemui dalam keadaan selamat selepas lebih tiga jam hilang ketika membuang air besar di kawasan Sungai Kapur berhampiran kawasan Bukit Evans, di sini, semalam.

Mangsa berusia 43 tahun itu ditemui pukul 6.10 petang, kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Pemandu pelancong (berbaju hijau) ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Pangkalan Perhutanan Pos Lasung untuk tindakan lanjut. Gambar SNT / Ihsan PPM Lahad Datu

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata pemandu berkenaan membawa dua pelancong untuk asing menjalankan aktiviti “Jungle Tracking” dengan menaiki bot ke kawasan itu pada pukul 3 petang.

“Apabila tiba di lokasi, pemandu memaklumkan kepada kumpulan pendakian berkenaan untuk memulakan aktiviti terlebih dahulu memandangkan dia perlu buang air besar.

“Bagaimanapun, pemandu pelancong tidak muncul sehingga selesai aktiviti dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian digerakkan pukul 4 petang.

PPM tiba di kawasan hutan Sungai Kapur bersama tiga anggota termasuk Pegawai Perhutanan Pos Lasun bagi menjalankan misi pencarian.

“Seorang Pegawai Perhutanan kemudian melepaskan empat das tembakan ke udara sebagai isyarat di kawasan mangsa hilang.

“Selang beberapa minit terdengar suara berteriak dari arah hutan Kayu Kapur kemudian anggota SAR menuju ke tempat suara kedengaran dan menemui mangsa dalam keadaan lemah kira-kira 50 meter dari tebing Sungai Kapur,” jelasnya.

Pajeri berkata mangsa dibawa ke bot Jabatan Perhutanan dan di hantar ke Pangkalan Perhutanan Pos Lasun untuk tindakan lanjut. – SabahNewsToday