Seorang Maut, Seorang Parah Kereta Bertembung

Dua kenderaan bertembung dalam kemalangan di Jalan Monsolurung, Tambunan. – Gambar Ihsan Bomba

TAMBUNAN: Seorang maut manakala seorang lagi parah selepas kenderaan dipandu masing-masing bertembung dalam kemalangan di Jalan Monsolurung di sini, semalam.

Pemandu kereta Toyota Corolla, Taulus Nain, 37, maut di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Hilux, Stephen Taulus, 43, parah dan dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.

Pemandu Toyota Corolla dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan di Jalan Monsolurung, Tambunan. – Gambar Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.28 malam dan bergegas ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambunan.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung. Pemandu Toyota Hilux yang parah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada ambulan untuk rawatan.

“Pemandu Toyota Corolla yang tersepit dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba melakukan pemeriksaan keselamatan di lokasi kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain.

“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya kira-kira pukul 9.06 malam,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *