Jerebu: Sekolah Di Kawasan Terjejas Di Sabah Akan Ditutup Jika Keadaan Semakin Teruk

KOTA KINABALU, 15 Sept: Sekolah yang berada di daerah terjejas akibat jerebu di Sabah akan ditutup sekiranya keadaan semakin teruk, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob.

Beliau berkata pihaknya buat masa ini masih belum mendapat maklumat berhubung penutupan mana-mana sekolah di daerah dilanda jerebu, namun, sesi persekolahan akan ditangguhkan sekiranya ada keperluan berbuat demikian.

“Kita (kementerian) juga sentiasa memantau keadaan jerebu ketika ini dan jika ada keperluan untuk menutup (sesi persekolahan)  kita akan beritahu. Setiap pengurusan sekolah juga saya rasa tahu apa yang mereka perlu lakukan dan mereka sentiasa bersedia dengan keadaan seperti ini.

“Saya fikir selagi pengurusan sekolah melihat keadaan masih terkawal maka sesi persekolahan akan diteruskan, namun, apabila keadaan semakin teruk mereka tahu apa yang perlu dilakukan kerana kesihatan dan keselamatan murid adalah menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyan Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Kali Keempat bagi Zon Sabah dan Labuan sekali gus menyerahkan diploma kepada 1,152 graduan yang mengikuti pelbagai bidang pengajian.

Dalam pada itu, Yusof turut menasihatkan guru-guru supaya mengurangkan aktiviti luar melibatkan para pelajar buat masa ini kerana dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan mereka selain turut menyarankan penggunaan topeng muka untuk perlindungan daripada kesan jerebu.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kualiti udara di Tawau mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan catatan IPU 117, setakat jam 2 petang ini.

Kualiti udara di Sandakan merekodkan bacaan IPU 97, diikuti Kimanis (86), Politeknik Kota Kinabalu (84), Keningau (83) dan Kota Kinabalu (77), manakala pulau bebas cukai Labuan (93).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk laman web http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui tahap IPU terkini pada setiap jam.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *