Kerajaan Persekutuan Lulus RM20 Juta Laksana Program Pengukuran Tanah Adat

Ewon mendengar taklimat ringkas daripada Safar mengenai Program Pantas.

KOTA BELUD: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM 20,000,000 untuk program pengukuran tanah adat anak negeri di seluruh Sabah, tahun ini.

Pengarah Tanah dan Ukur Sabah Datuk Hj.Safar Untong berkata, setakat September ini, sebanyak 141 buah kampung melibatkan 21 daerah di seluruh Sabah telah dijalankan pengukuran Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) sejak program itu diwujudkan pada 2012.

Safar menyampaikan cenderakenangan kepada Ewon, pada majlis itu.

“Dalam tempoh itu sebanyak 20,948 lot dengan keluasan 36,048.344 hektar tanah berjaya diukur di seluruh Sabah.

“Sehingga kini, sebanyak 6,335 geran deraf telah dikeluarkan dan pihak Jabatan Tanah dan Ukur masih lagi giat mencetak deraf geran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program PANTAS di Kampung Kiau Taburi, di sini, pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

Safar berkata, sesi taklimat awal bersama penduduk kampung Kiau telahpun diadakan pada 27 Ogos lalu bertujuan memberikan maklumat-maklumat tentang rancangan pengukuran bagi kawasan kampung itu dan sebuah Jawatankuasa Pengukuran Lapangan akan ditubuhkan bersama-sama ketua kampung selepas pelancaran program ini.

“Ini bertujuan untuk merancang lebih teliti pengukuran lot dan pendaftaran permohonan tanah program PANTAS di Kampung Kiau,” katanya dan menambah Jurukur Daerah Bahagian Pantai Barat Utara diamanahkan untuk menyelia dan mengawal perkembangan kerja-kerja pengukuran di kawasan itu.

Safar berharap penduduk kampung dan Ketua Kampung memberikan kerjasama dan membantu Pasukan Ukur Jabatan menunjukkan sempadan kawasan tanah masing-masing bagi memudahkan proses pengukuran dilaksanakan.

“Jangan menimbulkan pertikaian dan perselisihan sesama sendiri, tujuan kita adalah untuk mengukur tanah di kampung ini yang sudah kamu duduki sejak turun-temurun dan mengeluarkan geran-geran tanah secepat mungkin,” katanya.

Program pengukuran PANTAS di Kampung Kiau merupakan Program PANTAS pertama di daerah Kota Belud. Bagi kawasan kampung itu, arahan ukur telah dikeluarkan pada 12 September lalu untuk 254 lot yang berkeluasan kira-kira seluas 500 ekar.

“Kita perlu tiga pasukan untuk melaksanakan pengukuran di Kampung Kiau Taburi dan kita akan tambah dua lagi psukan menjadikannya lima pasukan sekiranya ada kampung-kampung bersebelahan dengan kampung ini yang belum disukat.

“Saya mengarahkan mereka supaya menjalankan pengukuran terus kampung-kampung bersebelahan selepas selesai pengukuran di Kampung Kiau Taburi untuk menjimatkan dari segi lojistik,” katanya.

Beliau berkata, jabatan menetapkan tempoh lapan bulan untuk menyiapkan penyukatan tanah di Kampung Kiau Taburi dan kampung-kampung bersebelahan kampung itu.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *