(VIDEO) Penduduk Terkejut, Dua Gajah Pygmy ‘Lapar’ Masuk Kampung

Gajah Pygmy masuk ke Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Sukau untuk mencari makanan. – Ihsan Pembaca

KINABATANGAN: Kekerapan gajah pygmy memasuki kawasan penempatan, khususnya beberapa perkampungan di daerah ini dikenal pasti antara kesan penerokaan hutan yang menjadi habitat semulajadi haiwan berkenaan.

Malah, aktiviti penerokaan hutan itu bukan saja merosakkan ekosistem hutan tetapi turut menjejaskan sumber makanan haiwan itu.

Gajah Pygmy masuk ke Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Sukau untuk mencari makanan. – Ihsan Pembaca

Terbaru, dua gajah pygmy yang dipercayai kelaparan tiba-tiba masuk ke Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Sukau, di sini untuk mencari makanan, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, beberapa penduduk terkejut selepas melihat kehadiran dua gajah berkenaan di hadapan rumah mereka, termasuk memakan ubi kayu ditanam penduduk kampung.

Penduduk, Mansor Ismail, 39, berkata dalam kejadian awal pagi itu, dia dikejutkan isterinya yang memberitahu terdapat terdapat dua ekor gajah di hadapan rumah mereka.

“Ia adalah dua ekor gajah pygmy Borneo jantan. Sebelum ini, jarang haiwan ini masuk ke kampung namun mereka kini semakin kerap mencari makan di kampung kami.

“Kehadiran gajah sememangnya biasa bagi kami penduduk sini. Dari dulu lagi, kampung kami menjadi laluan gajah, namun tidaklah begitu kerap seperti akhir-akhir ini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman, berkata perubahan laluan gajah itu disedari sejak kebekalangan ini berikutan penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan di Sukau.

“Haiwan dilindungi itu juga sudah tidak melalui laluan perjalanan mereka sebelum ini, termasuk dari kawasan Abai ke Batu Puteh, di sini. Ia juga sudah tidak bergerak dalam kumpulan besar, sebaliknya dalam kumpulan kecil.

Seratu Aatai adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diwujudkan bagi menangani isu melindungi gajah di negeri ini.

Dr Nurzhafarina berkata, pada masa-masa tertentu sebelum ini, pihaknya mudah mengetahui lokasi kumpulan gajah berkenaan berikutan kebiasaan laluan digunakannya.

“Namun, semakin sukar meramalkan lokasinya berkumpul sekarang kerana ia tidak lagi menggunakan laluan sama, selain bergerak dalam kumpulan kecil antara enam hingga 10 ekor. Dulu, kumpulan gajah ini boleh mencecah sehingga 160 ekor dalam satu pergerakan,” katanya.

Mengenai kehadiran gajah di PPMS, Dr Nurzhafarina berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kehadiran gajah di kawasan penempatan itu.

“Kita sudah menghantar tiga anggota untuk menyertai kawalan di sana sejak kelmarin. Pada bulan lalu juga, kita ada menerima laporan dan kawalan turut dilakukan. Ia tidak bersifat agresif dan apa yang penting haiwan ini jangan diprovokasi,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *