Pelakon Lelaki Popular Ditipu Lima Bonus

Lebih 10 artis tanah air dikesan menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan pembelian mata wang digital (Bitcoin) yang menjanjikan bayaran bonus hingga ratusan ribu Ringgit selepas dilantik sebagai ejen mempromosi pelaburan itu.

Seorang pelakon lelaki popular yang menjadi mangsa penipuan sindiket itu berkata, sebagai ejen promosi mereka dijanjikan habuan lima bonus iaitu bonus tajaan (sponsor bonus), bonus berpasangan (pairing bonus), bonus berkumpulan, wang selisih dan keuntungan bulanan.

Jika membawa masuk ramai pelabur, mereka akan menerima antara 10 hingga 40 peratus bonus tajaan.

“Sebagai contoh, jika artis membawa masuk pelaburan daripada peminat berjumlah RM1 juta, maka komisen diterima antara RM100,000 hingga RM400,000.

“Disebabkan itu, artis taasub mempromosi dan mencari pelabur. Namun kami terpedaya hingga memburukkan nama sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon berusia 40-an itu berkata, mereka juga dijanjikan bonus berpasangan (bersama rakan) antara lima hingga sembilan peratus jika mendapatkan pelabur.

“Sindiket itu turut menjanjikan bonus berkumpulan antara satu hingga dua peratus, selain kami turut sama membuat pelaburan itu.

“Apabila membeli mata wang digital pada harga murah, kami akan menaikkan harga jualan yang tinggi bergantung keadaan semasa. Keuntungan yang diperoleh digelar sebagai wang selisih,” katanya.

Menurutnya, artis juga dijanjikan keuntungan pada kadar 10 peratus sebulan menyebabkan mereka mengeluarkan modal untuk pelaburan.

“Semua ini penipuan kerana sebaik wang terkumpul, syarikat pelabur akan melarikan diri,” katanya yang menyertai pelaburan itu sejak 2017.

Bercerita mengenai modus operandi sindiket terbabit, pelakon itu berkata, wakil sindiket akan mendatangi artis kerana mereka tahu artis memiliki ramai peminat.

“Kami diundang berucap dalam seminar dan dijanjikan bayaran. Sudahlah menipu pelaburan, mereka tidak membayar wang promosi,” katanya.

Katanya, kesilapan artis terlalu mempercayai janji manis sindiket atau syarikat pelabur itu tanpa meneliti latar belakang mereka.

“Syarikat pelaburan ini tidak memiliki premis dan bertemu artis di sesuatu tempat. Mereka juga membina laman web sendiri dan memadamkannya sebaik melarikan semua wang,” katanya.

Katanya, sistem pelaburan itu tidak salah kerana dimainkan di seluruh dunia dan yang menjadi masalah adalah niat sindiket itu yang mahu menipu.

“Jika harga mata wang digital jatuh, syarikat terbabit tidak akan membayar dan sekiranya untung, mereka bolot dengan melarikan diri,” katanya.

Akibatnya, artis yang hadir berucap dalam seminar akan dipersalahkan sebelum mereka dilabel sebagai penipu. “Semua artis perlu ambil tahu masalah ini dan jangan sesekali menyerahkan tengkuk kepada sindiket terbabit. Saya memiliki pengalaman hadir di seminar di Lembah Klang tetapi tidak menerima bayaran,” katanya.

Katanya, dia juga kerugian sebanyak RM55,000 apabila wang pelaburannya dilarikan sindiket itu.

TUJUH LAPORAN BABIT WANG KRIPTO

KUALA LUMPUR: Sebanyak tujuh laporan polis diterima berhubung penipuan pelaburan mata wang kripto atau lebih dikenali sebagai ‘bitcoin’ membabitkan golongan selebriti pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan itu.

“Semua laporan diterima membabitkan seorang individu bergelar selebriti berhubung urus niaga pelaburan bitcoin.

“Ketika ini, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Mohd Zakaria berkata, ada antara golongan selebriti dijadikan sebagai duta untuk menarik pelabur memandangkan mereka mempunyai jumlah pengikut yang ramai.

“Mereka (selebriti) dilihat sebagai daya penarik mengumpan pelabur kerana memiliki jumlah pengikut yang ramai termasuk di media sosial.

“Malah, selebriti ini juga diberikan ganjaran lumayan sebagai jurucakap atau duta pelaburan itu,” katanya.

Beliau berkata, selebriti yang terbabit dengan sindiket penipuan pelaburan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya didapati bersubahat.

“Mungkin ada di antara selebriti mangsa atau mereka juga bersubahat dengan dalang sindiket terbabit.

“Polis akan melakukan siasatan bagi mengenal pasti sejauh mana pembabitan selebriti terbabit dalam sindiket berkenaan,” katanya.

Katanya, individu yang mahu menyertai pelaburan perlu merujuk kepada pihak berkaitan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat keputusan.

“Bagi golongan selebriti, mereka perlu mengelakkan diri daripada dijadikan sebagai ejen tidak sah dalam urusan pelaburan kerana dibimbangi akan terbabit secara langsung dengan sindiket penipuan. “Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan berhati-hati melakukan pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *